James Rodriguez dan Pepe kembali menyertai latihan bersama skuad utama Real Madrid dan secara tidak langsung menghadirkan kelegaan kepada jurulatihnya, Zinedine Zidane.

James tersisih sejak 7 Januari lalu akibat kecederaan betis yang berlarutan sementara masalah otot serupa turut meminggirkan pemain pertahanan tengah, Pepe, sejak Disember.

Bagaimanapun, kedua-dua pemain tersebut menamatkan sesi latihan bersama rakan sepasukan dan bersedia untuk diturunkan dalam kunjungan ke Celta Vigo, untuk aksi LaLiga hujung minggu ini.

Ia berita yang memberangsangkan buat Zidane ekoran masalah kecederaan yang menimpa skuadnya kebelakangan ini.

Gareth Bale, Marcelo, Dani Carvajal dan Luka Modric masih lagi memerlukan rawatan manakala Raphael Varane bergelut untuk mencapai kecergasan terbaiknya sehingga diarahkan berlatih di dalam gelanggang tertutup semalam.

Madrid akan berdepan Celta di Balaidos untuk peluang membalas dendam di atas kekalahan 3-2 dalam saingan Copa del Rey, bulan lalu.