Pemain tengah Colombia, James Rodriguez, akan kekal bersama Real Madrid walaupun telah dikaitkan dengan beberapa kelab gergasi Eropah, menurut bapanya.

James, yang masih bergelut untuk beraksi dalam kesebelasan utama kelab pendahulu LaLiga itu, dilaporkan dikehendaki oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Chelsea dan Manchester United.

Ejennya, Jorge Mendes, dan bapanya, Wilson, berkata James akan terus kekal di Santiago Bernabeu.

"Dia memiliki komitmen bersama Real Madrid dan kontraknya masih belum tamat," ujar Wilson Rodriguez kepada media Colombia.

"James akan kekal bersama Real."

James sekadar beraksi dalam lapan perlawanan untuk Los Blancos musim ini.

Dia menyertai Real dari Monaco selepas menyerlah di pentas Piala Dunia 2014 dengan nilai perpindahan sebanyak EURO80 juta.