Marc Wilmots berkata keutamaannya selepas mengambil alih Ivory Coast adalah untuk memujuk Yaya Toure keluar daripada persaraan antarabangsa.

Wilmots sah dilantik sebagai pengurus baru The Elephants, Selasa lalu, dengan pasukan itu masih meratapi penyingkiran mereka dalam peringkat kumpulan kempen Piala Negara-Negara Afrika, awal tahun ini.

Ivory Coast tiba di Gabon sebagai juara bertahan selepas Toure mengetuai kemenangan The Elephants dalam perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti ke atas Ghana pada 2015.

"Saya tahu betapa pentingnya mempunyai pemain berpengalaman. Ia bukan lagi berakhir untuk Toure, kami cuba mendapatkannya kembali," kata Wilmots.

"Kes Yaya Toure akan menjadi salah satu misi utama saya.

"Saya telah menonton dua perlawanan terakhir ketika dia bermain untuk Manchester City sebagai pemain tengah bertahan. Dia sentiasa hebat, dia begitu bagus dari segi fizikal.

"Saya akan berjumpa dengannya, saya akan bercakap dengan dia."

Wilmots pernah membawa 'generasi emas' Belgium ke suku akhir Euro 2016, di mana mereka tewas kepada Wales dan jurulatih berusia 48 tahun itu percaya dia mempunyai satu lagi koleksi bakat cemerlang yang boleh didapati dalam tugasan barunya itu.

"Saya tidak mempunyai banyak pengetahuan mengenai negara ini tetapi saya mempunyai banyak maklumat mengenai pasukan kebangsaan dan saya sangat berminat dengan pasukan kebangsaan," katanya.

"Mereka mempunyai generasi pemain yang sangat baik. Apabila cabaran itu ditawarkan kepada saya, saya fikir mengapa tidak?"