Ivan Rakitic merancang mengadakan perbincangan dengan rakan sepasukan Sevilla, Jules Kounde, agar tidak patah semangat selepas perpindahannya ke Chelsea tidak menjadi kenyataan.

Kounde mengukuhkan dirinya sebagai salah seorang pertahanan terbaik LaLiga sejak dua musim yang lalu hingga mengundang minat sejumlah kelab elit.

Laporan minat daripada Chelsea masih berterusan sepanjang jendela perpindahan baru-baru ini sambil Pengarah Sukan Sevilla, Monchi, mengesahkan bahawa juara Eropah itu sempat membuat penawaran.

Ia secara tidak langsung menarik perhatian Kounde sebelum Monchi mengesahkan kedua-dua kelab itu gagal mencapai kata sepakat berhubung soal bayaran klausa pelepasan 80 juta (RM394.2 j).

Kounde menduduki tempat ketiga antara pertahanan LaLiga terbaik untuk pertembungan udara yang dimenangi (205) dan keenam daripada segi hantaran (3,536) sejak awal musim 2019-20 -- gabungan fizikal dan kemahiran yang berkualiti bagi mengharungi kancah Liga Perdan Inggeris (EPL).

Namun, veteran Rakitic berharap pemain berusia 22 tahun itu mampu bangkit dengan segera.

"Mudah-mudahan, sebaik kembali daripada pasukan kebangsaannya, kami dapat meluangkan masa untuk berbicara dengan ikhlas hati, supaya dia tahu bahawa dia mempunyai kepercayaan kami, bahawa kami adalah keluarga keduanya," kata Rakitic dalam temu ramah dengan ELDesmarque.

"Ini sangat penting buat kami. Perkara pertama yang kami perlukan lakukan adalah membuatkan dia berasa selesa, berada di tahap terbaik untuk sedar bahawa semuanya yang kami lakukan, kami lakukan bersama."



Rakitic mahu Kounde terus mempamerkan peningkatan kualitinya.

"Dia masih pemain yang sedang meningkat naik, 22 tahun, sangat muda," tambah Rakitic.

"Dia sudah mengharungi beberapa tahun yang luar biasa di sini. Itulah sebabnya dia menarik minat kelab besar.

"Dia mendapat pengiktirafan ini menerusi permainannya. Apa yang paling penting ialah dia memahami bahawa ia sudah berlaku.

"Selain masih muda, dia sudah memiliki banyak pengalaman. Dia tidak lagi harus membuktikan apa-apa kepada sesiapa pun. Dia sudah menjadi pemain yang bagus.

"Sudah tentu dia masih perlu meningkatkan permainannya tetapi dia harus terus menikmati bola sepak. Kesedihan, tidak berpuas hati atau marah tidak akan membantunya. Dia harus menaikkan semula semangatnya."