Mario Balotelli kembali dipanggil bagi menyertai kem latihan selama tiga hari skuad kebangsaan Itali dan Joao Pedro pula antara muka baru yang disenaraikan ketua jurulatih, Roberto Mancini.

Balotelli tidak pernah mewakili negaranya sejak tiga tahun lalu tetapi penyerang yang sedang berada di prestasi terbaik itu kembali tersenarai selaku 35 pemain yang dipanggil untuk menyertai kem latihan di Coverciano dari Rabu hingga Jumaat ini.

Pemain berusia 31 tahun itu telah menjaringkan sembilan gol buat Adana Demirspor sejak menyertai Liga Super Turki pada Julai lalu -- termasuk tiga gol daripada empat perlawanan terakhir.

Dua pemain kelahiran Brazil, Joao Pedro dan Luiz Felipe, antara tujuh pemain baru yang dipanggil Mancini berbaki dua bulan menjelang perlawanan playoff kelayakan Piala Dunia menentang Macedonia Utara.

Marco Carnesecchi, Giorgio Scalvini, Nicolo Fagioli, Davide Frattesi dan Samuele Ricci juga dipanggil buat kali pertama.

Azzurri akan menghadapi Macedonia Utara dalam separuh akhir playoff di Stadio Renzo Barbera pada 24 Mac ini.

Jika mereka berhasil memenangi pertemuan di Palermo itu, mereka akan berdepan sama ada Portugal atau Turki dan pemenang dalam perlawanan akhir itu akan mendapat slot ke kejohanan utama di Qatar tahun depan.

Senarai pemain Itali:
Marco Carnesecchi, Alessio Cragno, Alex Meret, Salvatore Sirigu; Alessandro Bastoni, Cristiano Biraghi, Davide Calabria, Giorgio Chiellini, Mattia De Sciglio, Giovanni Di Lorenzo, Alessandro Florenzi, Luiz Felipe, Gianluca Mancini, Luca Pellegrini, Giorgio Scalvini, Rafael Toloi; Nicolo Barella, Bryan Cristante, Nicolo Fagioli, Davide Frattesi, Manuel Locatelli, Matteo Pessina, Samuele Ricci, Stefano Sensi, Sandro Tonali; Mario Balotelli, Domenico Berardi, Federico Bernardeschi, Ciro Immobile, Lorenzo Insigne, Joao Pedro, Giacomo Raspadori, Gianluca Scamacca, Mattia Zaccagni, Nicolo Zaniolo.