Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Hairuddin Omar, menyifatkan hukuman pemotongan mata terhadap pasukan yang ingkar menyelesaikan segala tuntutan syarat pendaftaran Liga Malaysia sebagai tindakan tepat.

Hairuddin menegaskan ia adalah langkah terbaik bagi menangani isu tunggakan gaji selepas pemain bertungkus-lumus beraksi di atas padang.

"Keputusan FAM memberi hukuman pemotongan mata ini adalah sebagai pengajaran dan masa depan pemain adalah satu keutamaan.

"Langkah yang diambil ini adalah untuk memastikan kebajikan pemain terjamin dan menjaga integriti bola sepak Malaysia," katanya.

Pandangan sama turut disuarakan penganalisis bola sepak tempatan, Rizal Hashim.

"Saya berpendapat penguatkuasaan yang ketat harus dilakukan kerana bola sepak Malaysia selama ini terlalu berkompromi sehingga menjejaskan kualiti.

"Sebab itu Liga Korea Selatan hanya memulakan saingan dengan lapan pasukan," katanya.

Semalam, Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) mengambil tindakan memotong enam mata terhadap Kelantan, T-Team, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Keputusan itu dibuat selepas keempat-empat pasukan itu gagal menyelesaikan segala tuntutan berkaitan tunggakkan gaji pemain, KWSP, Perkeso dan LHDN sebelum 31 Mac lalu.