Isu pergaduhan Malaysia-UAE selesai

Penulis Jemputan
September 12, 2018 11:30 MYT
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul, mengesahkan siasatan kes pergaduhan di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selesai selepas badan induk bola sepak Asia itu berpuas hati dengan tindakan dalaman kedua-dua persatuan berhubung kes berkenaan.
Aksi persahabatan skuad B-23 negara menentang UAE di Stadium Shah Alam pada 10 Ogos lalu mencetuskan kontroversi apabila berlaku pergaduhan besar di hujung perlawanan.
Mana-mana pemain dan pegawai daripada kedua-dua pasukan berdepan tindakan tegas, termasuk digantung serta-merta oleh AFC andai didapati bersalah dalam insiden berkenaan.
Mujur, tiada tindakan diambil oleh AFC selepas meneliti sepenuhnya laporan daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bolasepak UAE (EFA) yang proaktif dalam melakukan tindakan selanjutnya.
"Bagi pihak AFC, kami berpuas hati dengan tindakan yang telah diambil oleh kedua-dua persatuan secara dalaman dan isu ini dianggap selesai," kata Windsor.
"Saya berterima kasih kepada pihak UAE yang bertindak secara proaktif terhadap insiden ini," kata Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.
Terdahulu, berlangsungnya Anugerah Dream Asia AFC di ibu pejabat badan induk bola sepak Asia itu di Bukit Jalil, hari ini.
Dianjurkan buat julung kali, anugerah ini memberi pengiktirafan kepada beberapa negara atas usaha mereka membangunkan bola sepak di rantau ini dengan FAM dipilih sebagai pemenang untuk anugerah pembangunan.