Pengendali Selangor, P. Maniam, menegaskan pasukannya tidak terjejas dengan isu pemotongan mata menjelang aksi bertemu Pahang di Stadium KLFA Cheras, Sabtu ini.

Juara Piala Malaysia 33 kali itu berdepan hukuman pemotongan mata oleh Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) selepas didapati lewat menghantar dokumen pendaftaran Liga Malaysia musim 2018.

Situasi itu tampak memberikan kesan kepada Selangor yang kini menghuni tangga ketiga liga dengan enam mata, dibezakan satu mata dengan pendahulu, PKNS FC, dan dibezakan jaringan gol dengan pasukan tangga kedua, Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bagaimanapun, Maniam yakin anak-anak buahnya mampu menangani tekanan itu dan mempamerkan aksi terbaik, terutama selepas dibelasah 1-4 oleh Terengganu dalam aksi sebelum ini.

"Musim baru bermula dan kita sudah didedahkan dengan masalah sebegini tetapi saya rasa pemain-pemain dapat menanganinya.

"Apa yang penting adalah mereka kekal fokus dalam setiap perlawanan. Mereka cuma perlu memberikan komitmen penuh," kata Maniam.

Buat tonggak pertahanan, Mohd Razman Roslan, dia juga bersetuju dengan pendapat Maniam sambil menyifatkan setiap pemain tidak perlu mengambil tahu perihal di luar padang.

"Bagi saya, kami hanya perlu fokus kepada aksi di dalam padang dan saya juga menekankan kepada rakan sepasukan agar tidak terlalu memikirkan isu tersebut.

"Persembahan dan keputusan di atas padang adalah keutamaan kami," ujar Razman.

Dalam masa sama, perkhabaran gembira menanti kem Selangor selepas Joseph Kalang Tie kembali menjalani latihan penuh selepas melalui kemelut kecederaan sebelum ini.

Namun, khidmat Azamuddin Akil terpaksa dilupakan setelah bekas pemain sayap Pahang dan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu dilaporkan memerlukan rehat selama dua minggu lagi untuk pulih.