Pemain pertahanan Kedah, Rizal Ghazali, berjanji akan memberikan fokus terlebih dahulu untuk aksi berdepan Sarawak walaupun dia kini dilanda keresahan berhubung kesnya bersama Felda United.

Rizal sebelum ini sudah menyatakan persetujuan bersama Felda United sebelum aksi final Piala Malaysia 2016, sebelum mengubah keputusannya dengan melanjutkan kontrak setahun bersama skuad Helang Merah.

Tindakannya itu meletakkan dia kini dalam bahaya berdepan kemungkinan digantung satu tempoh yang lama oleh Jawatankuasa Status Pemain, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Anak jati Baling itu menegaskan, selagi belum ada keputusan muktamad, dia mahu memberikan tumpuan terlebih dahulu terhadap aksi bertemu Sarawak.

"Selagi keputusan belum muktamad, saya akan teruskan fokus untuk menghadapi perlawanan.

"Perlawanan menentang Sarawak di tempat sendiri penting buat kami. Saya harap kemenangan ke atas JDT dapat mengeratkan lagi pasukan ini," ujarnya.

Rizal juga berharap Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dapat membantunya menangani isu berkenaan.

Bersedia dengan apa sahaja kemungkinan, dia akan terus berbakti selagi khidmatnya diperlukan pasukan.

"Terpulang kepada KFA, apa pun saya perlu fokus dengan tugasan saya di sini.

"Selagi belum selesai, saya akan memberi tumpuan terhadap Kedah."