Hasrat Safee Sali untuk menyertai Kelantan mungkin tidak kesampaian apabila Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, mahu mengelak daripada melakukan pembaziran selain sudah mempunyai penyerang yang mencukupi musim ini.

Pendirian itu diluahkan Bibi Ramjani biarpun pasukan itu menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat Safee daripada Perlis.

Ia menerusi rundingan yang diadakan di antara Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Red Warriors (KRW), Fazli Mohamad, bersama bekas penyerang kebangsaan itu, malam tadi.

Safee mahu meleraikan ikatan bersama skuad Singa Utara setelah Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) gagal melunaskan tunggakan gaji selama dua bulan.

"Walaupun pasukan kini diuruskan KRW, sedikit-sebanyak KAFA masih memantau perkembangan pengurusan pasukan.

"Ini kerana KAFA yang akan tetap menanggung akibatnya kemudian hari kerana kontrak mereka dimeterai bersama KAFA.

"Lebih baik kami tengok situasi ini berdasarkan keperluan atau ia menjurus kepada pembaziran.

"Oleh itu, lebih baik KAFA ambil jalan tengah," jelas Bibi Ramjani.

Selain Safee, beberapa lagi pemain berpengalaman, termasuk Khyril Muhymeen Zambri dan Badhri Radzi turut mahu meninggalkan Perlis sekiranya kemelut itu masih belum diselesaikan.