Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendedahkan enam lagi pasukan dan kelab tempatan, termasuk Perlis, berhutang sejumlah RM4.48 juta kepada pemain dan juga pegawai.

Mesyuarat Jawatankuasa Status FAM kali ke-10 yang bersidang 1 Februari lalu memutuskan kesemua pasukan yang masih memiliki tunggakan gaji serta lain-lain bayaran diberi tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan untuk melunaskan semua tunggakan terbabit.

Jumlah keseluruhan RM4.48 juta itu merangkumi enam pasukan membabitkan bayaran tertunggak kepada 22 pemain dan enam pegawai pasukan.

Paling tinggi dalam tuntutan gaji dan bayaran-bayaran adalah membabitkan enam pemain Felda United dengan jumlah keseluruhan RM3.81 juta.

Antara bekas pemain Felda dengan tuntutan tunggakan gaji tertinggi adalah kapten, Muhammad Shukor Adan, dengan sejumlah hampir RM391,000 dan Wan Zack Haikal Wan Nor yang berjumlah hampir RM280,000.

Pasukan lain yang terbabit dalam perintah itu ialah Perlis, PDRM, Kuantan FA, Hanelang FC dan Terengganu City FC (TCFC).

FAM menegaskan jika pasukan berkenaan gagal melangsaikan tunggakan sehingga 9 Mac depan, sebarang deposit pertandingan, hadiah wang tunai ataupun kewangan responden yang berbaki dengan FAM akan dibayar kepada pengadu.

Liga Bolasepak Malaysia (MFL) semalam mengeluarkan kenyataan meminta bukan sahaja pasukan Perlis, malah beberapa pasukan yang turut mengalami masalah kewangan, untuk menunjukkan laporan kewangan pasukan masing-masing pada 15 Februari sebelum tindakan selanjutnya diambil.