Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) hanya memerlukan sedikit masa lagi daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) untuk melaksanakan mesyuarat agung tahunan (AGM) yang sudah pun tertangguh sejak tahun lalu.

KLFA sepatutnya menuruti arahan yang dikeluarkan PJS untuk melaksanakan AGM, semalam.

Namun, KLFA sudah pun menghantar surat rayuan kepada PJS dan juga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menangguhkannya kepada 15 Jun ini bagi memberi ruang buat KLFA menyelesaikan beberapa masalah dalaman.

"Kami perlu selesaikan masalah dalaman terlebih dahulu sebelum memutuskan tarikh AGM.

"Kalau masalah dalaman belum diselesaikan, susahlah untuk mengadakan AGM," kata Naib Presiden KLFA, Datuk Kamaruddin Hassan.

Sesi pendengaran hari ini juga menyaksikan hanya satu wakil iaitu daripada Kelab Bolasepak UniKL yang hadir untuk membela diri sementara nasib baki lapan ahli kelab gabungan dan tiga individu yang gagal menjawab surat tunjuk sebab KLFA bakal ditentukan oleh jawatankuasa tatatertib persatuan berkenaan.

"Jawatankuasa tatatertib akan membuat rumusan dan laporan.

"Keputusan itu akan dibawa dalam mesyuarat exco selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Jawatankuasa exco sendiri akan memutuskan bentuk hukuman ke atas ahli gabungan yang tidak hadir mahupun hadir menerusi laporan yang dikeluarkan jawatankuasa tatatertib," tambahnya.