Ketua jurulatih UiTM FC, Ismail Zakaria, menyifatkan pasukannya sebagai bernasib baik untuk pulang dengan satu mata apabila mengikat The Red Warriors (TRW) 0-0 dalam aksi seimbang Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Katanya, pemain muda TRW menunjukkan aksi terbaik sehingga menyukarkan barisan pemainnya meneruskan rentak kemenangan.

Selain itu, bekas pengendali Marcerra Kuantan FA itu terpaksa akur takhta pendahulu Liga Perdana dirampas semula pencabar terdekat, Johor Darul Ta'zim (JDT) II yang menang besar 5-0 ke atas Terengganu FC (TFC) II di Pasir Gudang.

"Dalam babak pertama, pasukan saya agak goyang dan serba tidak menjadi. Mungkin faktor rehat lama (sebelum dan selepas Hari Raya Aidilfitri) menjejaskan sedikit prestasi pasukan.

"Kelantan juga memiliki pemain muda yang hebat dan berbakat. Bila kita buat perbandingan (antara pemain muda), pemain saya tidak sehebat pemain Kelantan.

"Cuma, mereka (Kelantan) tidak bernasib baik apabila melepaskan dua peluang baik untuk menjaringkan gol kemenangan. Namun, keseluruhannya mencuri satu mata di tempat lawan sudah cukup baik untuk kami," katanya.

Ismail juga mengakui penyerang utama, Zarko Korac, gagal beraksi dengan baik kerana kekurangan sokongan daripada rakan sepasukan.

"Dia (Korac) mengharapkan bantuan bola daripada rakan.

"Itu sebabnya saya letakkan penyerang baru dari Brazil (Maycon Rogerio Calijuri) untuk menyokong serangan tapi apakan daya, dia gagal berfungsi dengan baik. Mungkin kerana ini adalah aksi pertama dia bersama kami," katanya.

Ismail juga berharap pemainnya bangkit untuk melayani Pulau Pinang untuk kembali mengukuhkan kedudukan dalam kelompok teratas Liga Perdana.

"Kami akan turun menentang Pulau Pinang, Rabu ini dan sudah pasti ia satu perlawanan yang bukan mudah untuk UiTM.

"Kami perlu memberikan yang terbaik," katanya.