Pemain tengah Terengganu, Ismail Faruqi Ashari, kini bersedia merebut tempat bersama pasukan itu selepas diketepikan selama sembilan bulan gara-gara kecederaan ligamen lutut ACL yang dialaminya musim lalu.

“Meskipun mungkin belum diturunkan dalam kesebelasan utama bertemu Sarawak, Sabtu ini, saya optimis mampu kembali beraksi dalam perlawanan seterusnya.

“Saya sudah bersedia, namun masih berusaha mendapatkan tahap kecergasan terbaik dan beberapa aksi persahabatan di Kota Bharu, minggu lalu, meningkatkan keyakinan saya.

“Persaingan di posisi tengah juga agak sengit dengan adanya (Lutfulla) Turaev, Shahrin (Sapien), Abdul Latiff (Suhaimi) dan ramai lagi, namun itu satu persaingan sihat,” katanya.

Ismail Faruqi, 30, turut menegaskan fokus utamanya kini adalah kembali mendapatkan rentak terbaik untuk membantu Terengganu menghadapi saingan Liga Perdana.

“Cukup andai saya tersenarai dalam skuad 18 pemain, dan saya akan terus memberikan yang terbaik untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya yakin rakan-rakan sepasukan mampu untuk mencapai kemenangan ke atas Sarawak walaupun pasukan lawan beraksi dalam Liga Super,” tambahnya.

Untuk rekod, kali terakhir Ismail Faruqi menyarung jersi negara adalah dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada November 2015 di bawah kendalian pengendali sementara, Datuk Ong Kim Swee.