Isco memuji jurulatih sementara Sepanyol, Fernando Hierro, di atas kebijaksanaannya tidak melakukan terlalu banyak perubahan ke atas pasukan selepas mengambil alih daripada Julen Lopetegui yang dipecat sambil mereka menyasarkan kemenangan sulung ke atas Iran, Rabu ini.

Hierro ditampilkan selaku pengendali bidan terjun sejurus sebelum Piala Dunia Russia bermula bagi menggantikan Lopetegui, yang dipecat gara-gara menerima tawaran mengemudi Real Madrid tanpa memaklumkan kepada Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF).

Perlawanan pertama di bawah tanggungjawabnya menyaksikan perlawanan pembukaan Sepanyol berakhir seri 3-3 dengan Portugal di sebalik keputusan itu tidak memberikan cerita sepenuhnya tatkala juara Eropah itu dibantu oleh kesilapan penjaga gol, David de Gea, dan sepakan percuma lewat Cristiano Ronaldo.

Berlatarbelakangkan keadaan haru-biru dalam kem Sepanyol, keadaan boleh saja menjadi lebih buruk ketika berdepan Portugal tetapi Isco berkata Hierro telah melakukan perkara yang betul dengan mengekalkan taktik ciptaan Lopetegui.

“Saya mengenali Fernando sejak beberapa tahun kebelakangan,” kata Isco kepada wartawan di Krasnodar, semalam. “Kami bertemu di Malaga dan kemudian dalam pasukan kebangsaan.

“Dia tahu apa yang dilakukannya. Tidak banyak perubahan dibuat kerana dia tahu kami sudah selesa dengan apa yang kami miliki.

“Ia sukar buatnya untuk menghadapi keadaan ini tanpa menjangkakannya tapi saya melihat dia melakukan tugasnya dengan baik, sangat fokus dan banyak mempercayai kami.”

Sepanyol adalah pasukan pilihan ketika bertemu Iran di Kazan sambil mereka mencari-cari kemenangan pertama di peringkat kumpulan.

Namun, Iran juga akan dirangsang oleh kemenangan 1-0 yang diraihnya ke atas Maghribi – keputusan yang melonjakkan mereka ke tangga teratas Kumpulan B.

Sambil penjaga gol, Alireza Beiranvand, akur tidak ramai yang menjangkan Iran akan mampu menambah kutipan mata, dia menegaskanSepanyol tidak akan mendapat laluan mudah.

“Semua orang tahu Sepanyol adalah antara pasukan terhebat dalam sejarah, namun satu perkara yang boleh kami janjikan ialah mereka tidak akan mendapatinya mudah ketika berdepan kami,” katanya.

"Semua orang juga tahu pemain-pemain kami semuanya adalah pejuang dan kami akan terus berjuang serta mengekalkan penumpuan hingga detik-detik terakhir perlawanan.”