Pemain tengah Real Madrid, Isco, meluahkan kekecewaannya dengan mendakwa tidak mendapat peluang sama rata seperti rakan sepasukan lain di bawah kendalian Santiago Solari.

Isco kerap dipinggirkan Solari dengan pemain kebangsaan Sepanyol itu tidak tersenarai selaku kesebelasan utama Madrid dalam LaLiga sejak Julen Lopetegui dipecat Oktober lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu -- yang dikhabarkan akan meninggalkan Santiago Bernabeu -- merupakan pemain simpanan yang tidak diturunkan sewaktu pasukannya terikat 1-1 dengan Barcelona dalam separuh akhir pertama Copa del Rey semalam.

Bekas pemain tengah Madrid, Ruben de la Red, berkata kelab itu tidak akan menunggu sesiapa dan Isco perlu memaparkan prestasi yang sejajar dengan rakan sepasukannya yang lain.

Sebagai respons kepada dakwaan itu, Isco mengirimkan satu ciapan di laman Twitter dengan berkata: "Saya bersetuju dengan De la Red, namun apabila anda tidak mendapat peluang seperti rakan sepsukan yang lain, ia akan mengubah segalanya.

"Bagaimanapun, saya akan terus berusaha keras dan menantikan kesempatan itu tiba! Hala Madrid!" tulisnya.

Isco hanya tersenarai 11 kali dalam kesebelasan utama Madrid musim ini.

Dia turut dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Liga Perdana Inggeris, Manchester City, dan seteru utama Madrid, Barcelona.

Terdahulu, dalam wawancara bersama AS, De la Red berkata: "Real Madrid adalah kelab yang tidak menunggu sesiapa.

"Setiap pemain dalam skuad itu cukup baik untuk mengambil tempat mereka dan sesiapa yang tidak tampil ke tahap yang diperlukan akan ditinggalkan."