Isco penting buat Real Madrid, LaLiga, Sepanyol -- Sanz

Penulis Jemputan
Disember 20, 2018 01:27 MYT
Isco adalah tonggak penting buat Real Madrid, LaLiga dan Sepanyol walaupun mengalami kemerosotan prestasi, kata Fernando Sanz.
Perancang berusia 26 tahun itu masih belum mengisi kesebelasan utama Los Blancos bagi aksi liga sejak Santiago Solari menggantikan Julen Lopetegui tatkala laporan mengatakan kedua-dua individu itu memiliki hubungan yang dingin.
Isco beraksi ketika Madrid tewas 3-0 di tangan CSKA Moscow dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah minggu lalu dan tampak menunjukkan isyarat marah kepada penonton walaupun Solari mendakwa pemain itu cuba mendapatkan perhatian pengadil untuk sepakan percuma atau sudut.
Bekas pemain Madrid, Sanz, yang memenangi Liga Juara-Juara dan LaLiga bersama kelab itu mendapati sukar untuk pemain konsisten di atas padang tetapi mempertahankan Isco tatkala bintang tengah itu kini dikaitkan dengan jalan keluar Januari ini.
"Saya pernah bertemunya tetapi tidak berpeluang berbual panjang. Ia tidak mengejutkan saya kerana tuntutan di Real Madrid sangat tinggi," kata Sanz.
"Namun, saya yakin dia mampu bangkit. Isco seorang pemain berbakat dan memiliki personaliti hebat.
"Saya rasa dia unik dan mampu mengubah situasi ini kepada pujian kerana dia merupakan pemain penting buat Madrid, LaLiga dan Sepanyol."
Dalam masa sama, Sanz yakin Solari adalah individu tepat untuk mengemudi Los Blancos.
"Saya rasa melantik Solari adalah keputusan bijak. Anda memerlukan keputusan pantas, jadi jika anda membawa masuk seseorang yang tidak tahu apa-apa di pertengahan musim, ia akan menyukarkan.
"Solari adalah pengendali skuad belia selama tiga tahun serta bekas pemain Real Madrid. Dia mengenali kelab. Saya rasa ia adalah keputusan bijak."