ATHLETIC BILBAO 1 REAL MADRID 1

Real Madrid mencicirkan mata buat kali pertama dalam saingan LaLiga di bawah bimbingan Julen Lopetegui apabila sekadar seri 1-1 dengan Athletic Bilbao di Stadium San Mames, awal pagi tadi.


Iker Muniain memberi tuan rumah kelebihan menerusi gol jarak dekat dalam babak pertama yang penuh tegang tatkala Unai Simon tenang mengawal pintu gol tuan rumah.

Namun, Toni Kroos melalukan hantaran tepat buat Gareth Bale yang melambungkan bola kepada pemain gantian, Isco, sebelum bintang Sepanyol itu mengikat kedudukan.

Usaha Madrid untuk meraih kemenangan dan menewaskan Simon buat kali kedua jelas sukar, sekali gus membuatkan anak-anak buah Lopetegui kini ketinggalan dua mata di belakang pendahulu liga, Barcelona, yang masih kekal dengan catatan kemenangan 100 peratus.

Inaki Williams melepaskan percubaan liar pada minit ke-14 dan Markel Susaeta cuba menyumbat gol dari jarak 20 ela, namun ia dinafikan oleh Thibaut Courtois.

Simon turut menafikan usaha awal Marco Asensio dan akhirnya Bilbao mengutip gol pembukaan pada minit ke-32.

Susaeta memasuki kotak penalti Madrid dan hantaran lintang rendah kapten tuan rumah itu dari jarak dekat disudahkan oleh Muniain dalam situasi kelam-kabut.

Bilbao turut meraih gol kedua tetapi ofsaid apabila Raul Garcia menyudahkan bola sepakan percuma Benat sambil Simon sekali lagi tampil cemerlang menepis bola percubaan Luka Modric.

Simon bernasib baik ketika Bale melakukan percubaan menerusi sepakan percuma tetapi pemain berusia 21 tahun itu terus cemerlang, kali ini menafikan asakan Sergio Ramos.

Lopetegui membawa masuk Iso dan dia hanya memerlukan tiga minit untuk melakar jaringan, dengan memastikan hantaran lintang kaki kanan daripada Bale disempurnakan dengan sebaik-baiknya.

Namun, Simon sekali lagi cemerlang apabila mengekang percubaan Asensio pada minit ke-68, sekali gus memastikan mereka sekadar berkongsi mata.