Masalah kecederaan serta penggantungan tidak menjejaskan persiapan Terengganu bagi menghadapi Sarawak untuk aksi suku akhir pertama Piala FA di Kuala Terengganu, esok.

Meskipun mempunyai kelebihan beraksi selaku tuan rumah, Terengganu kehilangan beberapa tonggak utama akibat kecederaan.

Antaranya Izuan Jarudin di bahagian pertahanan, pemain tengah, K. Parthiban, dan juga Amierul Hakimi Awang yang beraksi selaku penjaga gol.

Sementara itu, pemain import, Issey Nakajima-Farran, serta Firdaus Fadzi masing-masing menjalani penggantungan.

Situasi itu, bagaimanapun, tidak meresahkan jurulatihnya, Irfan Bakti Abu Salim, sambil mahukan pemain yang menggantikan kekosongan tonggak itu mampu melaksanakan tugas dengan berkesan.

"Kami sudah bersiap sedia untuk menentang Sarawak esok dan walaupun ada beberapa pemain tidak dapat diturunkan saya mempunyai pengganti," katanya. "Saya mengharapkan pemain yang diturunkan setanding dengan pemain yang biasa bermain."

Terengganu juga ingin mengekalkan rentak lima perlawanan tanpa kalah yang diharungi sebelum saingan liga berehat sebelum ini.

Sementara itu, Irfan belum memutuskan sama ada ingin memberikan kapten, Latiff Suhaimi, peluang untuk beraksi selepas pemain pertahanan itu baru sahaja pulih daripada kecederaan lutut MCL.

"Saya akan memikirkannya pada saat-saat akhir. Walaupun sudah seminggu berlatih, tahap kecergasaannya masih belum mencapai 100 peratus."