Bekas ketua jurulatih Terengganu FC, Irfan Bakti Abu Salim, mengekalkan pendiriannya untuk meletakkan jawatan walaupun Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) menyatakan kesudian mereka untuk menerima kembali sentuhan pengendali berpengalaman itu.

Peletakan jawatan Irfan dibuat sehari selepas kekalahan mengejut 5-3 Terengganu kepada Petaling Jaya City FC, minggu lalu.

Keputusan itu didedahkan sendiri Irfan dalam mesyuarat tergempar dan ia jelas mengejutkan pihak PBSNT.

Bagaimanapun, Irfan mengakui pihak PBSNT ada menawarkan tawaran baru buatnya.

"Memang sudah sah saya tidak lagi bersama dengan Terengganu FC walaupun beberapa hari lepas saya sudah bertemu dengan timbalan presiden untuk menyatakan pendirian saya untuk berehat.

"Saya amat berterima kasih kepada pihak pengurusan yang telah memberikan kerjasama sepanjang saya bersama dengan pasukan," katanya.

Rentetan daripada kekalahan terakhir Terengganu itu, Irfan mengakui ia turut mengganggu kesihatannya dan terpaksa berehat beberapa hari di Kuala Terengganu sebelum kembali pulang ke kediamannya di Shah Alam.

"Pekerjaan paling bertekanan tinggi adalah sebagai jurulatih.

"Pada malam tersebut, saya sememangnya tidak dapat mengawal keadaan saya.

"Suhu badan saya naik terlalu tinggi, jadi doktor terpaksa datang ke rumah saya pada malam tersebut," tambahnya.