Tonggak tengah Kuala Lumpur, Irfan Zakaria, bertekad memastikan skuad warga kota mengekalkan aksi konsisten dalam baki saingan Liga Perdana musim ini bagi memastikan impian ke Liga Super musim depan tercapai.

Segar daripada kejayaan membantu skuad bawah 22 tahun negara meraih perak di Sukan SEA Kuala Lumpur bulan lalu, Irfan kini fokus dengan tugasan bersama Kuala Lumpur.

Bagi Irfan, jurang mata yang rapat antara empat pasukan teratas liga bererti Kuala Lumpur tidak boleh keciciran mata apabila berdepan UiTM FC dalam aksi Liga Perdana, 19 September ini.

Kuala Lumpur kini mendahului liga dengan 41 mata, namun hanya dibezakan oleh perbezaan jaringan dengan Terengganu di tangga kedua.

"Peluang untuk Kuala Lumpur mara ke Liga Super sangat baik, kami perlu memastikan momentum kemenangan dapat diteruskan sehingga aksi terakhir," kata Irfan.

Dalam pada itu, pengendali Kuala Lumpur, Fabio Marciel, percaya Irfan mampu memainkan peranan penting buat pasukannya layak ke saingan Liga Super musim depan.

Bagi Marciel, Irfan membuktikan dia pemain berkualiti apabila beraksi konsisten selaku pertahanan bersama skuad bawah 22 tahun negara walaupun bermain selaku pemain tengah bersama Kuala Lumpur.

"Saya menurunkannya beraksi di bahagian tengah kerana kualiti hantaran yang dimiliki oleh Irfan. Kami sedang giat membuat persiapan bagi menghadapi aksi akan datang," kata Marciel.