“Mutu persembahan yang sangat baik dan menakjubkan."

Itu reaksi pengendali Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, selepas menyaksikan skuad bimbingannya menewaskan Selangor 4-1 dalam aksi Liga Super di Kuala Terengganu, malam tadi.

Sambil memuji persembahan ditunjukkan pemain-pemainnya, Irfan mengakui tidak menyangka mampu menang bergaya ke atas pasukan lawan yang dalam pemerhatiannya cukup lengkap.

“Saya memuji karekter pemain-pemain kerana menunjukkan kerjasama berpasukan sebagai satu unit ketika menyerang dan bertahan.

“Percaturan menggunakan kelebihan di bahagian sayap membuahkan hasil kerana Selangor adalah pasukan yang berdisiplin,” jelasnya.

Mengulas lanjut dua jaringan berkelas dunia dicipta tonggak import, Andrew Lee Tuck, Irfan menyifatkan gerakan itu satu kebiasaan yang sering dilakukan pemain itu ketika sesi latihan.

“Dia (Tuck) memiliki keupayaan melakukan jaringan seperti itu kerana sebagai pemain tengah, Andrew mampu melihat kedudukan penjaga gol lawan,” tambah Irfan.