Jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti, memilih Selangor sebagai pencabar terdekat untuk menyaingi Johor Darul Ta'zim (JDT) menjelang saingan Liga Malaysia 2020 yang akan membuka tirai penghujung bulan ini.

Merujuk kepada persediaan Selangor dan barisan pemain yang ada, Irfan memilih Selangor sebagai pasukan yang mampu menjelmakan kesukaran buat JDT.

Ditambah dengan kehadiran Brendan Gan dan kelibat bekas import Pahang, Safuan Baharuddin, Selangor memiliki kriteria untuk menyaingi JDT.

Enam musim JDT kekal sebagai juara Liga Super, Irfan mengharapkan, barisan kendalian B. Sathianathan mampu melakar kejutan musim ini.

"Benar JDT adalah pasukan lain daripada yang lain dalam Liga Malaysia. Jurulatih harus memikirkan cara untuk menghadapi mereka kerana saya sendiri pernah mengalaminya ketika mengendalikan Felda United dan Terengganu," kata Irfan yang ditemui wartawan Nadi Arena, Fina Nasrom.

Irfan tidak menafikan kesukaran yang bakal dilalui pahang, yang nampaknya kehilangan beberapa pemain yang dianggap watak penting dalam pasukan.

Bekas penolong jurulatih negara itu turut menggambarkan situasi sukar dari Kedah dengan kehadiran dua import yang memegang posisi penyerang utama iaitu Kpah Sherman dan Tchetche Kipre yang mungkin memerlukan masa untuk mencari keserasian.

"Sukar untuk Pahang mengekalkan rentak seperti musim terdahulu walaupun diperkuatkan dengan dua pemain bekas JDT."