Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, yakin peluang untuk meraih tiga mata penuh tetap terbuka buat pasukannya menjelang aksi bertemu Negeri Sembilan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam ini.

“Baru kini kami dapat merasai peluang beraksi di gelanggang lawan dan pada saya, kami tidak bermasalah untuk menghadapi situasi ini.

“Namun sudah tentu, pasukan lawan lebih baik berbanding lawan-lawan sebelum ini jadi saya tetap menjangkakan satu perlawanan sengit.

“Negeri Sembilan juga merekodkan tiga kemenangan dari tiga perlawanan, dan beraksi di tempat sendiri pasti memberikan mereka tonik tambahan,” ujarnya.

Ketika kelibat penyerang Negeri Sembilan, Bruno Junichi Suzuki, yang akan diberi perhatian, persiapan Sang Penyu sedikit terjejas dengan kehilangan beberapa pemain yang masih belum pasti dapat diturunkan akibat kecederaan.

“Sharbinee (Allawee) belum pulih sepenuhnya dan diberikan tempoh untuk berehat manakala (Federico) Falcone juga 50-50 akibat kecederaan hamstring namun kami masih ada Amirul Syahmi Ashari.

“Issey (Farran-Nakajima) menggalas tugas selaku penyerang ketika perlawanan lalu namun dia lebih sesuai beraksi sebagai pemain sayap memandangkan saya memerlukan penyerang tulen.

“Para pemain perlu bermain sebagai satu unit dan tidak mementingkan diri sendiri kerana bukan mudah untuk mencipta peluang menjaringkan gol lebih-lebih lagi beraksi di gelanggang lawan,” kata Irfan lagi.

Terengganu dan Negeri Sembilan kini menghuni dua kedudukan teratas liga dengan mengutip sembilan mata dari tiga perlawanan dan hanya dibezakan dengan perbezaan jaringan yang memihak skuad Sang Rusa.