Jurulatih Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, berang dengan aksi longlai barisan pertahanannya sehingga dibolosi empat kali dan berjanji akan merombak pasukan dalam baki tiga perlawanan sambil PKNS FC percaya keajaiban mampu berlaku untuk mereka merebut gelaran naib juara Liga Super 2018.

Dalam aksi semalam, Irfan menurunkan Fitri Omar, Kamal Azizi, Nasrullah Haniff dan Igor Zonjic di barisan pertahanan Terengganu, namun mereka ternyata gagal menjalankan tugas dengan baik apabila seringkali membuka ruang buat jentera serangan PKNS menjaringkan gol untuk meraih kemenangan 4-0..

"Boleh dikatakan keempat-empat gol, terutama gol ketiga dan keempat, saya tidak mahu menyalahkan orang yang sama tetapi saya cukup kecewa," kata Irfan.

Bagaimanapun, dia masih optimis untuk mendapatkan kembali kedudukan kedua liga kerana persaingan masih lagi terbuka antara lima pasukan.

Empat gol yang dihasilkan berjaya menjelmakan tiga mata buat PKNS, sekali gus menjadikan skuad kendalian Datuk K. Rajagobal itu juga berpeluang untuk mencabar kedudukan.

Selain Terengganu dan PKNS, tiga pasukan lagi yang turut mengidamkan gelaran naib juara Liga Super 2018 adalah Pahang, Perak dan Kedah.

"Kejutan mampu berlaku dalam bola sepak. Jika pemain-pemain melihat carta liga, segalanya boleh terjadi dan lebih baik mereka menikmati detik itu," ujar Rajagobal.