Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim, bimbang melihat ketumpulan jentera serangan dalam menghasilkan jaringan walaupun setelah pasukan bimbingannya itu menewaskan Kuala Lumpur 1-0 dalam aksi Liga Super di Stadium KLFA, Cheras semalam.

Terengganu mempamerkan semangat juang di laman sendiri dalam aksi sebelum ini apabila meraih jaringan penyamaan pada minit-minit akhir sewaktu berdepan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), untuk mengutip satu mata menerusi keputusan 2-2.

Kecemerlangan itu diteruskan ketika bertandang ke Cheras semalam apabila Igor Zonjic menjaringkan gol tunggal perlawanan setelah menanduk masuk bola hantaran Lee Tuck.

Namun, bagi Irfan, pasukannya bernasib baik dapat menyempurnakan satu daripada beberapa peluang yang terhidang sambil mengharapkan ketajaman di depan gawang akan dipertingkat bagi aksi selepas ini.

"Peluang daripada babak pertama telah diraih tetapi tidak disempurnakan. Jadi, jangan berlaku lagi dalam perlawanan seterusnya. Gol perlu dijaringkan kerana jika tidak, kami hanya meraih keputusan seri. Sewaktu rehat, saya memberitahu pemain bahawa saya tidak mahu banyak jaringan tetapi hanya satu gol," kata Irfan.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah, menyatakan rasa kecewa selepas skuad Warga Kota meraih kekalahan ketiga berturut-turut musim ini dan dia mengharapkan agar pihak pengurusan pasukan akan memberikan bantuan yang diperlukan.

"Perasaan cukup kecewa apabila melalui tiga perlawanan dengan kekalahan berturut-turut. Jauh dalam sudut hati saya, saya menginginkan sokongan daripada pihak pengurusan. Biar mereka lihat sendiri apa yang perlu dilakukan oleh mereka dalam pengambilan pemain import," ujar Yusri.