Kekalahan memalukan 0-3 kepada Kuala Lumpur, Jun lalu, masih segar dalam ingatan jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim, yang mahu mengelak daripada mengalami nasib sama dalam pertemuan kali kedua Liga Super 2018 di Kuala Terengganu, malam esok.

Tatkala kesilapan individu memaksa Sang Penyu berputih mata dalam perlawanan itu, Irfan ada mesej lain yang ingin disampaikan.

Berbaki lima perlawanan dengan tiga daripadanya di tempat lawan, pengendali berpengalaman itu menuntut skuad bimbingannya memperagakan aksi sebenar dalam memburu kemenangan mutlak.

"Pemain-pemain perlu memberi fokus 200 peratus sepanjang 90 minit permainan. Walaupun ketinggalan, kami tidak boleh cepat mengalah.

"Banyak peluang gagal disempurnakan dan saya sudah mengingatkan pemain supaya tidak membazir kerana Terengganu sudah tidak boleh keciciran mata untuk memburu kedudukan tiga teratas," katanya.

Sambil mengharapkan ketua pasukan, Kipre Tchetche, meneruskan sentuhan jaringan, Irfan terpaksa mengetepikan khidmat pertahanan kanan, Mohd Kamal Azizi, akibat penggantungan satu perlawanan.

Jentera tengah turut diberi perhatian dengan kembalinya Abdul Malik Mat Ariff dan Mohd Shahrul Aizad daripada kecederaan selain Mohd Faiz Nasir, Ashari Samsuddin serta J. Partiban yang turut bersaing merebut tempat di bahagian sayap.

"Sebenarnya, kami boleh mengalahkan Kuala Lumpur tempoh hari dan sebelum kami dibolosi pun seharusnya Terengganu sudah mendahului dua, tiga gol.

"Saya berharap pemain-pemain tidak lagi melakukan kesilapan sama dan lebih berkesan di depan pintu gol," tambah Irfan lagi.