BELARUS 0 IRELAND UTARA 1

Michael O'Neill berharap skuad kendaliannya, Ireland Utara, akan memberikan 100 peratus dalam pusingan kelayakan Euro 2020 selepas meningkatkan tekanan terhadap pasukan pilhan Kumpulan C, Belanda.


Ireland Utara memastikan kemenangan bersih sepanjang empat perlawanan peringkat kumpulan selepas menewaskan Belarus 1-0 di Borisov Arena, awal pagi tadi.

O'Neill -- yang pasukannya menewaskan Estonia hujung minggu lalu -- perlu berterima kasih kepada Paddy McNair selepas penyerang Middlesbrough itu menjaringkan gol tunggal pada empat minit terakhir perlawanan.

Kemenangan itu bermakna Ireland Utara berkelebihan tiga mata di depan pasukan di tangga kedua, Jerman, yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan, manakala sembilan mata di depan naib juara Liga Negara-Negara Eropah, Belanda, yang beraksi kurang dua perlawanan.

Pasukannya akan berdepan masing-masing dua perlawanan dengan kedua-dua pasukan itu dan O'Neill berkata dia berkeazaman tinggi untuk membina jurang mata yang besar dengan skuad kendalian Ronald Koeman itu sewaktu Belanda sedang melalui saingan Liga Negara-Negara.

"Kami sudah mencipta jurang yang besar di antara kami dan Belanda yang beraksi dalam Liga Negara-Negara," katanya kepada Sky Sports.

"Harap-harap mereka akan lebih bertekanan tinggi. Itulah objektif kami," katanya.

Ireland Utara akan bertemu Jerman di Windsor Park, 9 September depan, dan O'Neill percaya pasukannya berupaya untuk mengejutkan lawan itu yang menewaskan Estonia 8-0, awal pagi tadi.

"Mereka perlu turun dalam perlawanan itu dengan percaya mereka boleh memenanginya, ia semudah itu.

"Dengan kepercayaan itu, dengan tenaga dan penyokong di laman sendiri, kami mampu mengatasi mereka.

"Petunjuk yang seterusnya adalah perkembangan pasukan ini untuk menangani pasukan besar dan kami akan berdepan dua pasukan besar yang akan bertandang ke Belfast dalam beberapa bulan lagi," tambahnya.

Ireland Utara kelihatan bergelut untuk menumbangkan Belarus, namun O'Neill menolak tanggapan itu dengan berkata pasukannya tidak pernah diberikan harapan untuk melakarkan dominasi seperti itu.

"Mereka menganggap perlawanan ini amat mudah, namun ia tidak buat pasukan seperti kami.

"Kami tidak datang ke sini untuk menang dengan 3-0 seperti Jerman dan Belanda mampu lakukan," katanya lagi.