FIORENTINA 1 INTER MILAN 3

Simone Inzaghi menegaskan bahawa Inter Milan masih boleh meningkat selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Fiorentina 3-1 dalam perlawanan Serie A awal pagi tadi, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini.

Pasukan juara bertahan itu melengkapkan kebangkitan menakjubkan dalam babak kedua selepas ketinggalan gara-gara gol pembukaan Riccardo Sottil untuk melebarkan rekod tanpa kalah mereka dalam liga divisyen utama itu kepada sembilan perlawanan berturut-turut.

Ia juga merupakan kemenangan ke-1,500 Nerazzurri dalam kejohanan itu dan mereka turut menyamai rekod jaringan dalam 24 perlawanan liga berturut-turut, yang kali terakhir dilakukan dalam musim 1949-50.

Walaupun membawa reputasi sebagai juara bertahan, Inzaghi tetap menikmati suasana kemenangan yang sedang dilalui Inter sambil masih menagihkan peningkatan daripada pasukannya.

"Saya menyertai pasukan yang sedang menang, saya juga ada memenangi sesuatu," kata Inzaghi kepada DAZN selepas perlawanan itu.

"Kami sedang berusaha dan sedang berkembang: kami melalui permulaan musim yang hebat tetapi kami masih boleh meningkat.

"Sepanjang setengah jam pertama, kami berdepan masalah dengan rentak yang dipamerkan mereka tetapi kami membuktikan bahawa kami sedang berada di posisi terbaik, kami menjaringkan tiga gol dan ia mungkin boleh ditambah lagi.

"Tetapi ia satu kemenangan yang penting, sesuatu yang bukan mudah, untuk satu pasukan yang hebat," katanya.

Inter kehilangan Romelu Lukaku dan Achraf Hakimi dalam jendela perpindahan lalu sambil ketiadaan Christian Eriksen turut menjadi kebimbangan.

Bagaimanapun, skuad kendalian Inzaghi itu memulakan musim ini dengan baik untuk kini menduduki tangga teratas liga dengan kelebihan satu mata di depan Napoli -- yang berkelebihan satu perlawanan dalam tangan -- dan ketua jurulatih itu gembira dengan usaha yang dilakukan pasukannya setakat ini.

"Setelah apa yang berlaku dalam musim panas lalu, kami perlu meneruskannya.

"Saya amat bertuah untuk memiliki kelab yang kehilangan tiga pemain utama, iaitu Lukaku, Hakimi dan Eriksen, tetapi masih utuh berdiri, kami membawa masuk pemain penting dan berfungsi dengan baik.

"Saya memulakannya dengan impian dan keinginan yang besar tetapi kami sedar tugas menyelamatkan kelab ini merupakan perkara utama.

"Kami melakukannya dengan amat baik dan mengambil pemain yang berfungsi dengan baik, kami mahu kekal berada di atas," tambahnya.