Simone Inzaghi tidak pernah meragui kemampuan Inter selepas bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Empoli 4-2 dalam saingan Serie A yang mendebarkan awal pagi tadi.

Inter ketinggalan dua gol di San Siro selepas Andrea Pinamonti dan Kristjan Asllani menyumbat gol dalam tempoh 28 minit pertama.

Ia meletakkan Empoli berada di landasan terbaik untuk kemenangan pertama di tempat lawan dalam 10 perlawanan liga di tempat lawan, sebelum Simone Romagnoli untuk memasukkan gol ke gawang sendiri dan memberi talian hayat kepada Inter.

Lautaro Martinez kemudian meledak dua kali di kedua-dua belah separuh masa, sebelum pemain gantian, Alexis Sanchez, memastikan kemenangan pada masa tambahan.

Kemenangan untuk Inter -- kesembilan berturut-turut menentang Empoli dalam Serie A -- melonjakkan mereka satu mata di atas Milan, yang boleh merampas semula kedudukan teratas apabila bertandang ke Hellas Verona esok.

Walaupun pasukannya tidak biasa ketinggalan dua gol awal permainan, Inzaghi akhirnya gembira kebangkitan yang dipamerkan.

"Kami telah berkata dalam beberapa hari lalu bahawa kami mesti memberi perhatian kepada Empoli dan bertahan dengan baik. Tetapi saya sentiasa tahu bahawa pasukan akan mempunyai reaksi yang betul," katanya kepada DAZN.

"Kami mencipta peluang dan melakukan banyak percubaan. [Guglielmo] Vicario (penjaga gol Empoli) menampilkan aksi yang cukup bagus."

“Pasukan berpengalaman seperti kami tidak sepatutnya melepaskan gol seperti itu, tetapi perasaan kami mahu menjaringkan gol segera di hadapan penonton ini,” katanya.

"Saya rasa kami mencipta rekod hari ini untuk jumlah percubaan. Dalam 25 minit pertama atau lebih, kami terlalu gila untuk mendahului dan Empoli meletakkan kami di bawah tekanan.

"Tetapi kami menunjukkan reaksi yang hebat dan pemain-pemain harus diucapkan tahniah."