INTER MILAN 2 VENEZIA 1

Simone Inzaghi memuji pemain Inter Milan kerana tidak hilang pertimbangan dan bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Venezia 2-1 dalam perlawanan Serie A di San Siro awal pagi tadi.

Thomas Henry meletakkan Venezia di depan menerusi tandukannya pada minit ke-19 tetapi Nicolo Barella kemudian memastikan Inter kembali mengikat kedudukan sebelum ke bilik persalinan.

Pasukan juara bertahan itu kelihatan akan keciciran mata buat kali ketiga di San Siro sejak Oktober 2020 tetapi Edin Dzeko memastikan kemenangan pasukannya dengan gol pada minit ke-90.

Keputusan itu menyaksikan pendahulu liga, Nerazzurri, kini berkelebihan lima mata di depan pencabar terdekat, AC Milan, dan Inzaghi berasakan keupayaan pemainnya untuk kekal tenang selepas Venezia menjaringkan gol pembukaan menjadi kunci mereka memenangi perlawanan itu.

"Pasukan ini kekal percaya sehingga penhujung permainan. Pemain kami melakukannya dengan amat baik jika mengambil kira kami baru sahaja menentang Atalanta dan aksi sehingga masa tambahan dalam Coppa Italia dan Supercoppa," katanya kepada DAZN.

"Jika kita menganalisis golnya, kami sepatutnya boleh melakukannya dengan lebih baik dan dengan lebih tumpuan sebelum tandukan Henry. Kami perlu kembali menjadi lebih buas dalam situasi seperti itu.

"Pasukan ini mungkin boleh kehilangan pertimbangan selepas gol itu tetapi kami tetap mencuba dan mengubahnya pada penghujung permainan.

"Kami memenangi Supercoppa, kami meneruskan kemaraan dalam Liga Juara-Juara Eropah dan Coppa Italia -- kesemua ini adalah petanda penting dan kami kini menikmati kemenangan ini.

"Kami akan kembali bersama pada Rabu ini dan akan bersiap sedia untuk aksi derby," katanya.

Inter seterusnya akan meneruskan saingan Serie A dengan berdepan seteru setempat dan pencabar terdekat, AC Milan, awal bulan depan.