INTER MILAN 2 SPEZIA 0

Simone Inzaghi mencabar Inter Milan untuk memberikan sesuatu yang lebih baik selepas menewaskan Spezia 2-0 dalam perlawanan Serie A di laman sendiri awal pagi tadi.

Gol daripada Roberto Gagliardini dan Lautaro Martinez memastikan kemenangan ketiga berturut-turut Nerazzurri dalam Serie A -- buat kali pertama di bawah bimbingan Inzaghi.

Ia merupakan aksi dominan pasukan tuan rumah itu di San Siro, di mana mereka mendaftarkan 31 percubaan tepat -- rekod tertinggi pernah dicatatkan dalam saingan liga divisyen utama Itali itu musim ini.

Kemenangan itu juga memastikan Inter kekal di tangga ketiga Serie A untuk terus memberikan tekanan buat Napoli dan AC Milan.

Walaupun berada dalam keadaan penuh berkeyakinan berbekalkan rekod 10 perlawanan tanpa kalah menjelang aksi bertemu AS Roma hujung minggu ini, Inzaghi menggesa pemainnya agar tidak mudah berasa selesa.

"Ia perlawanan yang penting. Pemain kami amat luar biasa. Mereka segera menunjukkan sikap yang betul, saya amat berpuas hati.

"Menamatkan perlawanan tanpa dibolosi merupakan satu sebab kepuasan hati ini.

"Kami bermain dengan berhati-hati tanpa berpecah, walaupun pada hakikatnya kami menentang pasukan yang bermain secara tertutup dan bersedia untuk memberikan ancaman.

"Saya amat berpuas hati dengan pemain saya tetapi kami masih belum menyelesaikan apa-apa dan pada Sabtu ini, kami ada satu lagi perlawanan mencabar sedang menanti kami.

"Kami sedang berkembang. Perlawanan-perlawanan sukar sedang menanti kami tetapi dengan perpaduan dan keinginan seperti ini, kami boleh melakukannya dengan lebih baik," katanya.