Ketua jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi, diuji positif koronavirus.

Pasukan juara bertahan Serie A itu mengesahkan bahawa pengendali berusia 45 tahun berkenaan didapati positif virus itu dalam ujian saringan rutin yang dilakukan malam tadi.

Dalam satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan, Inter memaklumkan kepada penyokong mereka bahawa Inzaghi "kini sedang menjalani protokol pengasingan yang sejajar dengan garis panduan kesihatan".

Bagaimanapun, situasi itu kelihatan tidak akan memberikan kesan buat pasukan itu memandangkan mereka tidak mempunyai sebarang perlawanan sebelum bertemu AC Milan dalam aksi Derby della Madonnina pada 5 Februari ini.

Di bawah garis panduan Persatuan Bolasepak Itali (FIGC), pemain atau pegawai hanya perlu dikuarantin selama tiga hari seandainya mereka tidak menunjukkan sebarang gejala.

Selain itu, pemain yang menjadi kontak rapat kepada Inzaghi juga masih dibenarkan untuk menjalani latihan selagi mereka tidak diuji positif virus itu.

Ketetapan itu mula dilaksanakan pada awal bulan ini, di mana setiap pemain, staf dan penyokong perlu melengkapkan sekurang-kurangnya dua dos vaksin koronavirus untuk dibenarkan ke stadium.

Bagaimanapun, sebelum ketetapan itu dilaksanakan, Serie A telah mencapai tahap 98 peratus daripada keseluruhan pemainnya daripada segi pengambilan vaksinasi.