Simone Inzaghi tidak pasti sambutan yang bakal diterimanya ketika Inter berkunjung ke Lazio, tengah malam ini, tetapi dalam masa yang sama berasa teruja.

Pengurus berusia 45 tahun itu dilantik untuk menggantikan juara Scudetto, Antonio Conte, di San Siro pada Jun lalu, iaitu seminggu sesudah dia menamatkan kontraknya selepas lima tahun mengendalikan Lazio.

Inzaghi menghabiskan 11 tahun kariernya sebagai pemain dengan menyarung jersi Biancocelesti sementara enam tahun lagi bertugas sebagai jurulatih akademi kelab itu.

Selepas memenangi Coppa Italia pada 2019 dan membimbing Lazio kembali ke Liga Juara-Juara (UCL) yang menyaksikan mereka mara ke pusingan 16 musim lalu, pemergian Inzaghi langsung tidak dijangka, lantas perpindahannya ke Inter tidak begitu disenangi oleh segelintir peminat kelab dari Rom itu.






Menurut laporan di Itali, hubungan di antara Inzaghi dan Presiden Lazio, Claudio Lotito, masih dingin tetapi pengurus Inter itu tidak sudah tidak sabar-sabar lagi untuk bertandang ke Stadio Olimpico.

"Ini bukan perlawanan seperti yang lain. Bagi saya ini adalah seperti kembali ke laman sendiri yang saya sudah menetap selama 22 tahun," katanya dalam sidang akhbar malam tadi.

"Sangat menggembirakan untuk melihat barisan pemain sering mencurahkan segala kudrat demi saya dan peranan istimewa individu di belakang tabir.

"Selain itu, saya akan menemui penyokong Lazio, ia sangat penting buat saya. Kami pernah bersama-sama meraikan kejayaan dan menderita, malah mencapai sasaran hebat selepas berjuang sekian lama.

"Saya tahu akan ada ejeken dan tanda sokongan, tetapi ini adalah tugas saya. Saya akan menelannya. Mereka tahu bahawa saya akan selalu memberikan segalanya."

Lazio belum tewas dalam 16 perlawanan terakhir apabila memenangi 14 daripadanya -- rekod paling cemerlang mereka sejak 2002.

Justeru, Inzaghi kagum dengan sentuhan Sarri sejak mengambil tugasan di ibu negara Itali itu.

"Saya fikir Lazio telah mempamerkan beberapa perlawanan yang sangat menarik," kata Inzaghi lagi.

"Mereka adalah pasukan yang cukup bagus. Seorang jurulatih baru telah tiba dan dia sangat cekap mengatur pasukan.

"Mereka beraksi dengan sangat baik tetapi kalah dalam perlawanan terakhir, oleh itu mereka pasti berasa marah dan ingin bermain dengan baik."