Simone Inzaghi meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih Lazio disebalik desas-desus mengaitkannya untuk mengisi kekosongan jawatan sama di Inter Milan.

Pengendali berusia 45 tahun itu menghabiskan lima tahun dalam karier pengurusannya di Stadio Olimpico, tempat di mana dia juga pernah berkhidmat selama 11 tahun selaku pemain.

Inzaghi membawa Lazio muncul juara Coppa Italia musim 2018-19 dan memenangi dua gelaran Supercoppa Italiana pada 2017 dan 2019 selain menamatkan penantian 13 tahun kelab itu untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Dia pada awalnya dijangka akan melanjutkan kontraknya bersama skuad Biancocelesti itu yang akan tamat pada hujung bulan depan tetapi kini disahkan bahawa bekas pemain kebangsaan Itali itu akan meninggalkan kelab berkenaan.

Lazio mengeluarkan satu kenyataan dalam laman web rasmi mereka semalam tetapi tiada menyebut nama Inzaghi dalam kenyataan itu.

"Kami menghormati perubahan fikiran jurulatih itu, yang sebelumnya sebagai seorang pemain yang menghabiskan bertahun-tahun sebagai keluarga Lazio dan menyumbang kepada pelbagai kejayaan buat Biancocelesti," kata kenyataan itu.

Inzhagi, yang sebelum ini turut dikaitkan dengan jawatan pengurus Tottenham, merekodkan 108 kemenangan, 35 keputusan seri dan 55 kekalahan daripada 198 perlawanannya bersama Lazio.

Laporan di Itali mendakwa Inter semakin hampir untuk menemui kesepakatan dengan Inzaghi bagi menggantikan Antonio Conte, yang meninggalkan Inter secara persetujuan bersama, hanya beberapa bulan selepas menamatkan penantian 11 tahun skuad Nerazzurri itu memenangi Scudetto.