Simone Inzaghi meluahkan kelegaan setelah Inter menundukkan Bologna 6-1 semalam untuk melangkah ke puncak Serie A.

The Nerazzurri kini telah memenangi 18 perlawanan berturut-turut di laman sendiri dalam saingan liga tetapi mereka tidak dapat meneruskan rentak itu dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), apabila tewas dengan jaringan lewat ketika bertemu Real Madrid.

Inzaghi mengakui keputusan itu membimbangkan dirinya menjelang pertemuan dengan Bologna, walaupun kerisauan seperti itu cepat reda ketika Lautaro Martinez membuka jaringan seawal minit keenam.

Pemain gantian, Edin Dzeko, menjaringkan dua gol ketika membantu juara bertahan itu merekodkan tiga kemenangan berturut-turut ke atas lawan yang sama.

"Saya khuatir perlawanan ini selepas bertemu Real Madrid tetapi mereka menghadapinya dengan cara yang terbaik," kata Inzaghi kepada DAZN.

"Amat penting sekali, kami mengetahui betapa pentingnya perlawanan ini. Kami hadir dengan persembahan yang sangat baik ketika bertemu Real, di mana hanya hasilnya yang gagal dicapai. Kami meminta pemain-pemain mengambil kekecewaan itu dan menang perlawanan ini.

"Kami menggunakan peluang seawal mungkin untuk menembusi benteng lawan dan segalanya terus membuahkan hasil buat kami."