Simone Inzaghi berkata dia sudah bersetuju dengan kontrak baru untuk kekal sebagai ketua jurulatih Lazio.

Inzaghi mengambil tugas itu pada Julai tahun lalu ekoran pemergian mengejut Marcelo Bielsa selepas hanya dua hari memikul tugas di Stadio Olimpico dan pengurus berusia 41 tahun itu membantu Lazio mara ke perlawanan akhir Coppa Italia, sebelum tumbang kepada Juventus.

Tatkala Lazio masih belum membuat pengumuman rasmi mengenai pembaharuan kontrak Inzaghi, jurulatih itu sendiri mendedahkan dia sudah bersetuju untuk memeterai kontrak lanjutan selepas kelab itu menamatkan saingan Serie A musim ini di tangga kelima.

"Saya gembira untuk memperbaharui kontrak dengan Lazio," kata Inzaghi kepada Sky Sports Italia. "Cuma tinggal untuk menurunkan tandatangan dan ia akan berlaku tidak lama lagi. Saya gembira untuk menyambung tugas dan berharap kami mampu meraih pencapaian hebat musim depan.

"Saya berkongsi semua perkara bersama kakitangan dan pemain saya. Apa yang saya gemari adalah keghairahan yang kami bawakan untuk penyokong. Melihat sejumlah 50,000 penyokong di Olimpico membuatkan saya sangat gembira."

Tugas Inzaghi seterusnya adalah untuk meyakinkan ketua pasukan, Lucas Biglia, agar kekal, dengan AC Milan dikaitkan dengan pemain Argentina itu.

Bagaimanapun, bos Lazio itu berkata rundingan kontrak dengan pemain berumur 31 tahun itu masih berjalan.

"Rundingan sedang berjalan. Saya sempat bercakap dengan Lucas sebelum dia berlepas untuk bersama pasukan kebangsaan dan dia berkata dia akan membuat yang terbaik," tambah Inzaghi.