AC MILAN 1 INTER MILAN 1

Simone Inzaghi percaya Inter Milan sepatutnya meraih tiga mata selepas terikat 1-1 dalam perlawanan 'derby' menentang AC Milan di San Siro awal pagi tadi.

Hakan Calhanoglu -- yang menyertai Inter daripada Milan secara perpindahan percuma pada Julai lalu -- memenangi dan menjaringkan sepakan penalti ke atas Rossoneri pada awal permainan.

Pemain kebangsaan Turki itu menjadi pemain keempat menjaringkan gol dalam 'derby' Milan pertama sebaik mewakili pasukan lawan dalam perlawanan sebelumnya selepas Hernan Crespo (2006), Ronaldo (2007) dan Zlatan Ibrahimovic (2010) melakukan perkara sama.

Inter, bagaimanapun, membenarkan lawan kembali mengikat kedudukan apabila Stefan de Vrij terjaring gol ke gawang sendiri -- gol sendiri pertama dalam 'derby' Milan sejak Samir Handanovic melalui nasib sama pada Disember 2017.

Nerazurri mendapatkan sepakan penalti kedua dalam babak pertama tetapi penjaga gol Milan, Ciprian Tatarusanu, menyelamatkan sepakan Lautaro Martinez untuk pasukannya terus mengikat kedudukan.

Martinez kini gagal menyempurnakan tiga daripada enam sepakan penalti terakhir yang diambilnya.



"Gelasnya hanya berisi separuh air kerana kami mempunyai banyak peluang dan terlepas jaringan penalti, jadi pada pandangan saya, kami selayaknya mendapatkan sesuatu yang lebih baik," kata Inzaghi kepada DAZN.

"Kami berdepan pasukan hebat yang layak mengisi kelompok atasan. Kami ketinggalan daripada segi perkembangan tetapi ada waktunya kami kembali ke landasan yang betul dan persembahan seperti ini akan memberikan kami keyakinan.

"Sepanjang enam perlawanan lalu, kami seri dengan Juventus dan Milan pada ketika kami mampu untuk menang.

"Milan dan Napoli sedang meneruskan rentak yang luar biasa tetapi perjalanannya masih jauh dan kami akan menuju ke atas.

"Kami mahu memberikan penyokong kami kemenangan dan saya rasa kami telah melakukan apa yang patut untuk layak mendapatkannya.

"Rentaknya amat tinggi dan kedua-dua pasukan mungkin boleh melakukan sesuatu yang lebih baik daripada segi teknikal tetapi ia amat menegangkan.

"Milan pasukan yang amat teknikal, jadi anda perlu membuatkan mereka penat, perlu membuatkan mereka bergerak.

"Kami dapat melakukannya dengan baik dalam 20 minit pertama dan secara umumnya, saya fikir kami layak mendapatkan sesuatu yang lebih baik.

"Kami hanya sedikit bergelut pada 15 minit terakhir," katanya.