SAMPDORIA 2 INTER MILAN 2

Simone Inzaghi kecewa apabila Inter Milan dua kali melepaskan kelebihan untuk terikat 2-2 dengan Sampdoria dalam perlawanan Serie A ke-200 dirinya selaku jurulatih malam tadi.

Gol pertama Federico Dimarco bersama Nerazzurri menerusi sepakan percuma gemilangnya dan penyudah Lautaro Martinez meletakkan pasukan juara bertahan itu dua kali berada di depan di Stadio Luigi Ferraris.

Bagaimanapun, jaringan sendiri Edin Dzeko dan penyudah voli Tommaso Augello memastikan Sampdoria mencuri satu mata dalam perlawanan itu dan situasi kian tidak memihak Inter apabila Stefano Sensi terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan pada lewat permainan.

"Terdapat kekecewaan kerana ia satu perlawanan yang kami boleh menang. Pasukan seperti kami mendahului dua kali tetapi kemudian melakukan kesilapan dengan Ivan Perisic, Hakan Calhanoglu dan pemain lain melepaskan peluang mudah," kata Inzaghi kepada Sky Sport Italia.

"Kami dibolosi dua gol, satu daripadanya adalah gol sendiri Edin Dzeko dan satu lagi adalah penyudah berkelas dunia daripada Tommaso Augello tetapi kami sepatutnya memenangi perlawanan ini.

"Kami berdepan lawan yang amat bagus dan tertatur tetapi kekecewaannya turut melibatkan kecederaan yang dialami Sensi dan kami terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain.

"Kami perlu menganalisis apa yang berlaku kerana pasukan seperti kami, apabila sudah dua kali berada di depan, kami sepatutnya menang. Ia mengecewakan tetapi kami perlu melangkah ke depan dengan keyakinan dan membina sesuatu daripada perkara ini walaupun secara natural kami mahu memenangi tiga mata.

"Kami sudah menjangkakan bahawa ia akan menjadi perlawanan yang lebih terbuka pada setengah jam terakhir dan itulah yang berlaku sehingga kami terpaksa bermain dengan 10 pemain.

"Ini adalah perlawanan yang anda tidak boleh kalah, jadi kami perlu mencari semula kekuatan dan memastikan pemain kembali ke tahap kecergasan terbaik, di mana ia bukan sesuatu yang mudah dengan jadual perlawanan yang padat," katanya.