Hubungan retak di antara Mauro Icardi dan Inter telah menggariskan betapa pentingnya etika pasukan kepada pengurus, Luciano Spalletti.

Lilitan kapten Icardi telah ditarik sejak Februari lalu sebelum dia kembali beraksi dengan penuh bergaya membantu Inter meraih kemenangan 4-0 ke atas Genoa, Khamis lalu, dan bakal diturunkan berdepan Atalanta, tengah malam ini.

Bercakap menjelang perlawanan itu, Spalletti memberitahu: "Isu melibatkan Icardi adalah peluang untuk menilai semula Inter sebagai sebuah pasukan dan bukan pemain individu.

"Saya telah ulang banyak kali, terdapat beberapa perkara yang berlaku dalam musim ini yang harus dinilai dengan teliti," ujarnya.

Penyokong kelab bersedia untuk membantah penggunaan khidmat Icardi di San Siro setelah mengeluarkan kenyataan yang mengecam pemain berusia 26 tahun itu.

Spalletti tidak bersetuju dengan sentimen itu tetapi berharap mereka dapat memberikan sokongan kepada pasukan, malam ini.

"Inter milik mereka yang menggemarinya dan aktif memberikan sokongan kepada pemain-pemain.

"Saya yakin mereka yang meletakkan sepenuh jiwa untuk Inter akan berusaha untuk membantu pasukan mendapatkan keputusan positif."