TORINO 1 INTER 0

Luciano Spalletti mengesahkan beliau akan terus meminggirkan Ivan Perisic selepas pemain sayap Inter itu menghantar permohonan perpindahan.


Pengurus Besar, Beppe Marotta, mendedahkan menjelang perlawanan Serie A di Torino awal pagi tadi bahawa Perisic telah memohon untuk berpindah di celah-celah spekulasi yang mengaitkannya dengan Atletico Madrid dan Arsenal.

Begitupun, Arsenal dilaporkan hanya bersedia menawarkan perjanjian pinjaman awal tatkala Inter enggan melepaskan pemain Croatia itu hanya untuk sementara waktu.

Sehubungan itu, Perisic diketepikan ketika menentang Torino biarpun skuad kendalian Spalletti itu dihukum oleh tandukan Armando Izzo dalam kekalahan tipis 0-1 sambil Matteo Politano dibuang padang ketika menuju masa kecederaan.

Mereka gagal meledak sebarang gol dalam dua aksi terakhir sejak kempen Serie A bersambung, namun Spalletti tetap bertegas dengan tindakannya.

"Ia suatu keputusan yang agak mudah," kata Spalletti kepada Sky Sport Italia. "Pemain boleh mengatakan apa yang mereka inginkan tetapi mereka adalah milik kelab.

"Mereka telah menandatangani kontrak dan untuk berhijrah, mereka memerlukan seseorang yang sanggup membayar pampasannya. Anda tidak boleh pergi secara percuma sementara gaji anda dibayar oleh orang lain.

"Seperti yang dikatakan Marotta, dia tidak mahu beraksi kerana jelas sekali dia mahu berpindah.

"Itu bukan masalah bagi saya. Seseorang yang tidak dapat menyumbang kepada pasukan harus diketepikan."

Selain itu, Spalletti menjelaskan khidmat Perisic terpaksa diketepikan atas sebab perubahan dalam sistem permainan yang menyaksikan penyerang Argentina, Mauro Icardi dan Lautaro Martinez, bergandingan di bahagian hadapan tetapi tidak mencipta impak besar.

"Saya membuat perubahan di bahagian sayap dengan mempertaruhkan dua penyerang kerana saya tidak mempunyai banyak pilihan di bahagian sayap," katanya.

"Perisic tiada, kami mengambil risiko terhadap Matteo Politano, namun kesihatannya tidak berada dalam keadaan yang baik manakala Keita (Balde Diao) diketepikan (kerana cedera).

"Kami membuat pilihan yang berbeza berdasarkan fizikal tanpa mengabaikan persembahan individu agar kami boleh mencipta peluang untuk dua penyerang.

"Kami berharap dapat mencipta sesuatu yang lebih baik dengan menampilkan dua penyerang dan dalam babak pertama, kami terlepas beberapa situasi yang mungkin boleh memberikan kami kelebihan.

"Kami perlu kembali menerapkan prinsip-prinsip taktikal yang diamalkan. Kami memerlukan semua pemain untuk melaksanakan tugas mereka kerana kami terlalu gopoh dalam soal terjahan."