Jurulatih Inter Milan, Luciano Spalletti, mengakui tidak berdaya untuk menyekat Mauro Icardi daripada menyertai salah sebuah kelab gergasi di Eropah.

Kapten kelab itu yang dilaporkan mempunyai klausa pelepasan €110 juta (RM511.7j) telah dikaitkan dengan pelbagai kelab susulan prestasi memberangsangkan dalam Serie A musim ini, termasuk pemenang Liga Juara-Juara (UCL), Real Madrid, Chelsea dan Bayern Munich.

Spalletti menegaskan penyerang Argentina berkenaan tidak memberikan sebarang petunjuk bahawa dia mahu berpindah, khususnya setelah Inter berhasil merampas tempat dalam UCL menerusi kemenangan dramatik ke atas Lazio pada hari terakhir Serie A musim ini.

Bagaimanapun, beliau gusar sekiranya kelab besar akan menggoda Icardi dari San Siro jika mereka memutuskan untuk melancarkan tawaran.

"Saya telah bercakap dengan Mauro beberapa kali dan dia menghantar isyarat yang sangat tepat," katanya kepada Sky Sport Italia.

"Dia gembira di Inter dan mahu kekal, namun kelab yang akan memutuskan pengambilan pemain. Anda mungkin mengatakan, 'saya tidak akan pergi ke sini' pada hari sebelumnya, namun keesokan harinya mereka membawa anda lalu anda gembira untuk pergi meskipun pada hari sebelumnya, fikiran anda sangat berbeza.

"Kami perlu bersedia dengan apa jua kemungkinan tetapi buat masa ini tiada isyarat dan keraguan terhadap apa yang dihajatinya."

Icardi menyumbat 29 gol dalam 34 perlawanan liga pada 2018, termasuk jaringan penyamaan melalui penalti dalam kemenangan 3-2 di Lazio.