REAL MADRID 2 INTER 0

Simone Inzaghi mendedahkan Inter terkilan kerana gagal memanfaatkan aksi positif separuh masa pertama dalam kekalahan Liga Juara-Juara (UCL) menentang Real Madrid.


Inter dinafikan kedudukan teratas Kumpulan D berikutan tewas 0-2 kepada Madrid di Santiago Bernabeu, awal pagi tadi.

Walaupun sudah menjamin tempat ke pusingan kalah mati, jaringan Toni Kroos dan Marco Asensio memastikan Inter bakal diundi berdepan juara di peringkat kumpulan bagi pusingan 16.

Inter berada di puncak permainan pada awal 45 minit pertama dengan mengatur 13 percubaan, 14 hantaran silang dan 54.9 peratus penguasaan bola.

Begitupun, Inter hanya mampu mencatat satu percubaan tepat dan tugas mereka menjadi lebih sukar selepas rehat berikutan kad merah yang dikutip Nicolo Barella.

Walaupun mengalami kekalahan ke-10 dalam 12 perlawanan Eropah ketika menentang wakil Sepanyol, Inzaghi menegaskan pengalaman seperti itu akan menjadi bekalan untuk barisannya di peringkat kalah mati kelak.

Inter tewas kepada Los Blancos dalam keempat-empat pertemuan terakhir selain tumbang dalam tujuh perlawanan terakhir apabila berkunjung ke gergasi LaLiga itu.

"Jelas sekali, kami mahu mendapatkan keputusan yang berbeza tetapi ia akan menjadi pengajaran yang sangat berguna untuk masa depan kami," katanya.




“Terdapat banyak kekesalan dalam separuh masa pertama kerana pada pandangan saya, kami bermain dengan sangat baik dan menampilkan personaliti.

“Malangnya, kami mencipta banyak situasi yang memihak kepada kami tetapi dibolosi dengan satu gol.

"Ia adalah satu perlawanan terbuka; kami hampir menjaringkan gol penyamaan selepas rehat. Apabila ia menjadi 10 lawan 11, situasi menjadi lebih sukar.

"Kami semakin berkembang; saya tidak boleh begitu merungut mengenai prestasi pemain saya.

"Ini kerana kami bermain dengan baik ketika berdepan Real Madrid tetapi kecundang kedua-duanya. Jelas sekali, kami perlu meningkatkan usaha."