Naib Presiden Inter Milan, Javier Zanetti, mendedahkan minatnya terhadap Paulo Dybala sambil mengesahkan bahawa Nerazzurri sedang mengadakan perbincangan dengan penyerang itu.

Dybala, 28, akan meninggalkan Juventus selepas kontraknya tamat pada hujung bulan ini, sekali gus mengakhiri tempoh tujuh musimnya bersama Bianconeri dan Inter pula antara pasukan paling hampir untuk mendapatkan penggempur berkenaan.

Beberapa pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), termasuk Manchester United dan Tottenham, turut dikatakan berminat untuk mendapatkan pemain kebangsaan Argentina itu.

Laporan di Itali mendakwa Dybala sudahpun mencapai kesepakatan dengan pasukan bimbingan Simone Inzaghi berkenaan dan ia bermakna, bintang Juve itu akan meninggalkan Turin untuk menyertai pasukan seteru, Inter, yang terlepas gelaran Scucetto kepada kelab setempat, AC Milan.

Pada ketika legenda Nerazzurri, Zanetti, masih belum dapat mengesahkan mengenai kesepakatan itu, dia mendedahkan bahawa kelabnya sedang mengadakan perbincangan dengan Dybala.

A post shared by Paulo Dybala (@paulodybala)


"Kami sedang mengadakan perbincangan," katanya kepada D-Sports Radio seperti yang dipetik La Gazzetta dello Sport.

"Saya meminati Paulo dan saya mengucapkan selamat maju jaya buat kariernya.

"Dybala merupakan pemain yang hebat dan sudah pasti akan mewakili kami (Argentina) dalam Piala Dunia.

"Inter sentiasa memiliki ramai pemain daripada Amerika Selatan dalam pasukan mereka, terutama dari Argentina.

"Kami kini memiliki Lautaro Martinez dan Joaquin Correa. Kelab ini mempunyai kepercayaan terhadap pemain Argentina," katanya.