Inter Milan mengesahkan pengguguran pengurusnya, Luciano Spalletti, selepas dua tahun mengemudi pasukan itu.

Masa depan Spalletti kerap diperkatakan sejak beberapa minggu lalu ekoran berita yang mengaitkan bekas pengendali Juventus, Chelsea dan Itali, Antonio Conte, dengan jawatannya.

Bekas pengendali AS Roma itu membawa Inter meraih tempat keempat Serie A untuk layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan, namun ia masih belum cukup untuk mengekalkan jawatannya.

Kenyataan ringkas yang dikeluarkan kelab itu awal pagi tadi tertulis: "Inter boleh mengesahkan bahawa Luciano Spalletti bukan lagi ketua jurulatih pasukan utama.

"Kelab ini mengucapkan terima kasih buat Spalletti di atas usaha dan keputusan yang diraih bersama."

Inter memaparkan aksi tidak menentu sepanjang musim ini dan walaupun mereka merampas tempat keempat dalam perlawanan terakhir musim ini, penyingkiran di tangan Eintracht Frankfurt dalam pusingan 16 Liga Europa tidak banyak membantu Spalletti mengekalkan jawatannya.

Nerazzurri juga berdepan masalah di luar padang dalam separuh kedua musim ini melibatkan hubungan tegang di antara penyerang, Mauro Icardi, dan Spalletti.

Spekulasi mengenai masa depan pengendali itu semakin kencang apabila gambar Conte bersama pasukan media Inter menjadi tular di laman sosial.

Conte dilaporkan telah bersetuju untuk mengikat perjanjian di mana dia akan dibayar gaji asas €10 juta (RM46.7 juta) sepanjang dua musim pertama sebelum meningkat sebanyak €2 juta (RM9.3 juta) dalam musim ketiga.