Romelu Lukaku mempunyai keinginan besar untuk kembali ke Inter, menurut Pengarah Urusan Nerazzurri, Alessandro Antonello.

Selepas membantu Inter memenangi kejuaraan Serie A pertama mereka dalam tempoh lebih sedekad pada musim 2020-21, Lukaku kembali ke Chelsea dengan yuran rekod kelab sebanyak £97.5 juta (RM527.2j), Ogos lalu.

Bagaimanapun, penyerang Belgium itu bergelut dalam musim pertamanya di England apabila hanya menjaringkan lapan gol dalam 26 penampilan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kelibatnya tidak begitu disenangi di bawah bimbingan Thomas Tuchel.

Saham Lukaku kekal tinggi di Itali selepas dia menjaringkan 30 gol dalam kempen terakhirnya bersama Nerazzurri dan pemain berusia 29 tahun itu telah dikaitkan dengan kepulangan ke San Siro.

Antonello mengesahkan kelab itu berminat untuk memancing semula penyerang tersebut selain faktor bekas penggempur Manchester United berkenaan yang ingin angkat kaki.

Tetapi Antonello berkata mereka perlu mencapai kata sepakat mengenai yuran perpindahan di tengah-tengah spekulasi bahawa Lukaku boleh dipinjamkan.

“Terdapat keinginan besar di pihak pemain untuk kembali,” katanya.





“Tetapi situasi ekonomi-kewangan dan penyelesaian beberapa masalah teknikal perlu dikaji.

"Kami perlu membincangkan perkara ini dengan (Ketua Eksekutif Inter Giuseppe) Marotta. (Bolehkah Lukaku kembali) pada 30 Jun depan? Kami akan cuba melakukannya pada masa yang sesuai.

"Buat masa ini adalah penting untuk menggabungkan dua perkataan ini: berdaya saing di lapangan tetapi juga mampan dalam ekonomi dan kewangan.

"Kami sedang berusaha ke arah itu. Segala pilihan yang akan dibuat oleh kelab di pasaran perpindahan akan sentiasa merujuk kepada dua perkataan ini.

"UEFA (Kesatuan Bola Sepak Eropah) memperkenalkan sistem kewangan permainan adil (FFP) dan peraturan baru ini akan berkuat kuasa dari 2024-25.

"Segala-galanya boleh dilakukan dengan mengambil kira kemampanan kewangan."