INTER MILAN 1 UDINESE 0

Antonio Conte menyeru Inter Milan untuk beraksi lebih kemas selepas memperoleh kemenangan 1-0 ke atas Udinese, yang beraksi dengan 10 pemain, dalam perlawanan Serie A di laman sendiri awal pagi tadi.


Inter melonjak ke puncak Serie A dengan kelebihan dua mata di depan Juventus dengan tandukan Stefano Sensi dalam babak pertama memastikan kemenangan ketiga mereka musim ini.

Susulan jaringan itu, Rodrigo De Paul dilayangkan kad merah selepas pengadil, Maurizio Mariani, mendapati pemain tengah itu menampar kepala Antonio Candreva dalam situasi tanpa bola.

Romelu Lukaku gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke kubu lawan manakala Alexis Sanchez hanya dimasukkan pada 10 minit terakhir sebagai penampilan pertamanya buat Nerazzurri.

"Saya mengucapkan tahniah buat semua pemain kerana ia perlawanan yang sukar untuk berdepan pasukan sekuat itu dan tiga mata ini amat penting buat kami," katanya kepada DAZN.

"Kami layak mendapatkannya, namun perlu mengakui Udinese bermain dengan amat baik sehingga penghujung perlawanan.

"Kami perlu beraksi lebih kemas dan menamatkannya lebih awal, namun kami hanya mempertahankannya.

"Kami sedar kami perlu bersaing.

"Saya baca terlalu banyak benda mengarut dalam surat khabar.

"Kami perlu meneruskan haluan kami tanpa memikirkan perkara atau tanggapan lain.

"Kebenarannya, tiada apa yang mudah dan kami tidak boleh memandang mudah setiap perkara.

"Saya sudah memberikan amaran buat semua pemain saya bahawa Udinese akan mengambil pendekatan bertahan dan kami perlu berwaspada dengan serangan balas mereka.

"Kami perlu memulakan gerakan dari bawah dan kami melakukannya ke atas pasukan yang akan memberikan banyak masalah kepada pesaing lain musim ini.

"Perjalanan kami masih panjang, banyak perkara perlu dilakukan dan kami tidak akan terperangkap dengan euforia.

"Kami akan berusaha keras. Kami mahu menjadi pasukan yang kuat," katanya.