INTER 3 NAPOLI 2

Simone Inzaghi menyeru Inter agar membina prestasi mantap menentang Napoli selepas menamatkan kempen tanpa kalah pendahulu Serie A itu, sebentar tadi.


Piotr Zielinski menjaringkan gol pertama Napoli di tempat lawan sepanjang empat perlawanan liga bertemu Nerazzurri untuk membuka tirai jaringan yang juga merupakan gol pertama mereka di San Siro sejak April 2017.

Bagaimanapun, Hakan Calhanoglu menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti sebelum Ivan Perisic meletakkan Inter 2-1 menerusi tandukan dalam babak pertama.

Pemain antarabangsa Turki itu mencatat sekurang-kurangnya satu gol dan satu bantuan jaringan buat kali ke-10 dalam aksi Serie A sejak penampilan pertamanya pada 2017-18.

Lautaro Martinez menambah kelebihan Napoli di sebalik usaha pemain gantian, Dries Mertens, cuba mengurangkan defisit gol untuk memintas Antonio Vojak sebagai penjaring terbanyak pelawat dalam kancah liga dengan merakamkan gol ke-103.

Juara bertahan itu kemudian kental bertahan bagi menamatkan rekod liga tanpa kalah 21 perlawanan Napoli untuk membawa mereka kepada empat mata dengan dua pasukan di tangga teratas.

Justeru, Inzaghi membuat tuntutan lebih tinggi daripada anak buahnya menjelang pertembungan penting Liga Juara-Juara (UCL) menentang Shakhtar Donetsk, Khamis ini.

"Ia adalah satu perlawanan penting musim ini sekalipun aksi paling getir adalah dalam masa tiga hari lagi," kata Inzaghi kepada DAZN.

"Kami menewaskan Napoli yang sangat mantap dan kami juga melakukannya dengan sewajarnya. Pertemuan menentang Napoli sentiasa menjadi sukar, apatah lagi mereka mempunyai purata statistik penguasaan bola tertinggi dalam Serie A musim ini iaitu sebanyak 60 peratus.

"Kami perlu terus begini. Kami perlu fokus dalam perlawanan UCL seterusnya kerana sudah terlalu lama Inter tidak melepasi peringkat kumpulan dan kami mempunyai peluang besar untuk mencapainya.

"Kami memiliki peluang terhidang, kami dilanda kecederaan tetapi detik seperti inilah yang memerlukan semua pemain. Kami perlu bergerak ke depan, perlawanan demi perlawanan. Kami telah tercicir beberapa mata kerana UCL adalah sangat penting untuk kami."