Pengendali Inter, Stefano Pioli, berkata kemampuan pasukannya melakar kemenangan 2-0 ke atas Empoli dalam saingan Serie A tanpa kelibat Mauro Icardi membuktikan mereka memiliki kekuatan meskipun ketiadaan pemain itu.

Icardi digantung satu perlawanan ekoran tindakannya menendang bola ke arah pengadil, Nicola Rizzoli, ketika Inter tewas 1-0 kepada Juventus minggu lalu, sementara Ivan Perisic turut digantung selepas dilayangkan kad merah dalam perlawanan itu.

Jaringan Eder dan Antonio Candreva memastikan Inter tidak merasai kehilangan dua pemain itu, dan Pioli memuji aksi anak buahnya.

"Icardi seorang pemain yang hebat dan saya tidak sabar untuk menurunkannya dalam perlawanan selepas ini. Tetapi pasukan ini telah membuktikan mereka mampu memberi saingan meskipun tanpa kelibat kapten mereka," dia memberitahu Mediaset Premium.

"Aksi Juventus-Inter sudah kami lupakan, dan kami membuktikannya dengan memberi aksi baik dan penuh ketenangan.

"Kami perlu cuba memotivasikan diri dan cuba mengambil peluang yang ada. Pihak lawan bukan pasukan mudah tetapi pemain memberi reaksi yang positif."

Pioli turut memberikan peluang kepada penyerang berusia 17 tahun, Andrea Pinamonti, memasuki 10 minit terakhir perlawanan, namun Pioli melontar pujian kepada pemain tengah, Roberto Gagliardini, yang dua kali hampir meledak jaringan.

"Gagliardini memiliki potensi untuk menjadi seorang ketua.

"Setiap pemain menyaksikan kemampuannya untuk beraksi tenang dan sering kali membuat sumbangan," katanya.