Simone Inzaghi menolak cadangan bahawa ini adalah 'tahun peralihan' untuk Inter kerana juara bertahan Serie A itu menunjukkan mereka bersungguh-sungguh dalam pencarian kejuaraan musim ini.

Rombakan pasukan di San Siro tidak menjejaskan cita-cita Nerazzurri, dan kemenangan 2-0 di Venezia meningkatkan tekanan ke atas pendahulu Napoli dan Milan.

Inzaghi dilantik sebagai pengganti Antonio Conte, sementara Romelu Lukaku dan Achraf Hakimi mengambil keputusan untuk berhijrah manakala Christian Eriksen tidak dapat beraksi sejak mengalami serangan jantung di Euro 2020 ketika mewakili Denmark.

Inter nampaknya telah memilih secara bijak dengan membawa masuk Inzaghi dari Lazio sebagai ketua jurulatih, manakala pemain seperti Hakan Calhanoglu dan Edin Dzeko juga berjaya dibawa masuk bagi mengisi skuad utama.

Jaringan keempat Calhanoglu musim ini memastikan Inter mendahului Venezia, sebelum Lautaro Martinez memastikan kemenangan menerusi sepakan penalti dalam masa kecederaan.

Inter kini hanya dibezakan satu mata dengan Napoli dan Milan, yang bakal beraksi hari ini dan Inzaghi berkata, "Sesetengah orang berkata ini sepatutnya menjadi tahun peralihan untuk membina semula pasukan.

"Saya tiba dan kelab membantu saya dalam segala-galanya. Para pemain cukup hebat dan saya berasakan kami semakin baik dari hari ke hari. Kami perlu teruskan seperti ini.

"Saya melatih barisan pemain yang cukup berkualiti. Di sebalik kehilangan khidmat pemain seperti Lukaku, Hakimi dan Eriksen, setiap perancangan tetap dijalankan dan telah membawa masuk beberapa pemain yang bersesuaian dengan cara kami bermain."